Suka untuk saya berkongsi satu kisah.
Sedari dulu, aku terjebak dengan kata nama ini.Dalam ramai-ramai adik beradik aku, hanya aku seorang yang terlepas masuk SMKA gara-gara keputusan UPSR yang bagus. Oleh sebab takut dan tak biasa, aku pernah merancang untuk menggagalkan diri dalam kertas Bahasa Arab Komunikasi PMR. Alasannya? Supaya aku diarahkan pindah ke sekolah menengah harian biasa.
Percaturan Allah itu tiada tandingan.
Di SMKA ini aku belajar banyak benda. Mungkin kerana persekitaran Islamik, mulut aku terkunci apabila berhadapan dengan lelaki. Aku hanya bercakap apabila perlu, dan mulutku mula dibuka apabila berhadapan dengan rakan-rakan berlainan jantina yang kononnya ‘sekepala’ denganku. Itu saja. Tak lebih daripada itu.
Di sini juga aku mengenal erti menutup aurat yang sebenarnya. Sejak daripada darjah enam sehingga tingkatan 5, sepupu lelaki sebelah mama dibawa tinggal bersama. Tiada batasan aurat yang aku tunjukkan sepanjang keberadaan sepupuku itu di rumah. Pada suatu hari di Dorm 5, sedang aku berkongsi cerita keluarga dengan seorang senior, tidak terlepas aku menceritakan tentang sepupuku di rumah. Dan senior tersebut menegur tentang auratku di rumah. Pulang ke rumah pada hujung minggu, aku cuba untuk memakai tudung dan t shirt lengan panjang. Ayah pernah menegur “Kenapa pakai tudung dalam rumah? Rambut gugur ke?” Jawabku ringkas, “Sebab Mat (bukan nama sebenar) ada.”
Sejak dari itu, aku mula belajar untuk menutup aurat walaupun secara ‘slow’. Seminggu lagi Hari Raya. Aku resah memikirkan tentang penampilan baruku untuk ditunjukkan kepada saudara-mara di kampung. Aku tahu aku nampak lain daripada orang lain di sana. Makcik juga pernah berkata “Waaahh…Siti (bukan namaku yang sebenar) dah jadi ustazah.” Sedikit sebanyak, hati ini terguris. Tapi, aku simpan menjadi satu azam dalam diri untuk meneruskan ‘perjuangan’ku ini. Dan Alhamdulillah, lama-kelamaan, aku semakin berasa selesa dengan penampilan ‘bertudung di rumah’.
Disebabkan ‘kelainan’ ini, aku dapat rasakan yang sepupu-sepupuku yang lain mula menjauhkan diri. Mungkinkah hanya perasaan aku semata, tetapi ianya jelas. Jika itu harga yang perlu aku bayar atas ‘kelainan’ itu, aku redha. Aku berdoa semoga Allah membuka hati mereka untuk berubah dan kembali ke jalanNya. InsyaAllah.
Bagaimana?
Kadang-kadang, hati ini terfikir, kenapa perlu takutkan kelainan? Adakah sebab takutkan sahabat lari tinggalkan kita? Ataupun, takut dipandang ‘lain’ oleh masyarakat? Itulah hakikatnya. Inilah bayarannya jika mahu menjadi lain daripada orang lain. Malah, kelainan ini mendapat pandangan lain daripada Allah. Pesanan untuk diri sendiri dan juga untuk anda yang saya sayangi kerana Allah.
2 comments:
Subhanallah!! Harga 'kelainan' itu mahal kerna syurga itu sememangnya mahal...=)
kak ngah: betul...insyaAllah, harap Siti (bukan nama sebenar) tabah dan tetap di jalanNya...
Post a Comment