Wahai Rasul, akukah umatmu?
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim ( 2X )
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu
Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu
“Sungguh syahdu ku dengar lagu “ Ya Rasulullah” dendangan kumpulan nasyid Raihan. Benar, jika aku diberikan peluang untuk bertemu dan bersemuka dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad, mungkin begini juga reaksiku. Tangisan akan membasahi wajah, tangan Baginda akan aku kucup, dan tidak akan dilepaskan pandangan mata pada wajah suci Baginda walaupun sesaat. Malah, mungkin aku juga akan bersujud tanda syukur kepada-Nya di hadapan Baginda kerana impian untuk bertemu Rasulullah telah dikabulkan.
Tapi, apakah doaku akan dikabulkan? Dosa-dosa semalam menghantui dan menyelubungi kewarasan akal fikiran, sehingga aku menidakkan janji Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 135-136, mafhumnya: ‘Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak lagi meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). Mereka itu mendapat balasan berupa keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik balasan pahala bagi orang yang beramal’”.
“Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosaku yang lalu dan Kau tetapkan hatiku di landasan rahmat dan hidayahMu.”
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Ma, Sam tak nak masuk sekolah agama la. Nak kena pakai tudung labuh, hafal Al-Quran. Kena tinggal asrama pula. Sekolah dekat sini tak boleh ke, ma? Please...”. Sam atau nama sebenarnya Syamilatul Hasanah memberontak apabila mama dan ayah membuat keputusan untuk mendaftarkan namanya di sebuah sekolah agama terdekat di kawasan tempat tinggal mereka.
“Mama dan ayah dah buat keputusan, dan kami takkan ubah fikiran. Ini semua untuk kebaikan Sam juga. Lagipun, sekolah tu tak jauh sangat kan, every weekend Sam boleh balik rumah,” pujuk Puan Kamariah. Sam mendengus kasar. Tanpa memikirkan perasaan mamanya, Sam terus berlari masuk ke dalam bilik sebelum menutup pintu dengan kasar.
Rajuk dan protes Sam tidak dilayan oleh kedua orang tuanya, malah ayahnya mengugut tidak akan memberi wang belanja jika dia masih membantah. Hendak tak hendak, Sam terpaksa mengikut perintah mama dan ayah. Kuasa veto dalam genggaman ayah sebagai ketua keluarga, tak mampu dilawan dengan orang bawahan seperti Sam.
Hari ini, genap seminggu Sam berada di sekolah barunya. Genap seminggu juga Sam memakai tudung labuh yang baginya terlalu asing. Seumur hidupnya, tak pernah rambut kepalanya ditutup dengan apa-apa fabrik yang dinamakan hijab, kecuali ketika menghadiri kenduri arwah datuknya. Itupun pada dua tahun lepas. Selepas itu, dia hanya melilitkan selendang yang nipis ketika menghadiri kenduri-kendara, semata-mata untuk menghormati majlis. Mama dan ayah memang menyuruhnya memakai tudung sejak daripada dulu. Alasannya hanyalah, “Hidayah tak dapat lagi.”
Ketidakbiasaan Sam memakai hijab menyebabkan dia sering tidak ambil peduli dengan helaian-helaian rambut yang terkeluar dari sisi mukanya. Tanpa memakai anak tudung, tudung labuh itu hanya disarungkan sebagai syarat menutup rambut, untuk dilihat seperti pelajar-pelajar perempuan yang lain. Seringkali ditegur oleh pelajar-pelajar senior, tapi semua teguran tidak diendahkan. Dibalasnya, “Bukannya nampak semua rambut pun, sikit-sikit je ni.” Kemasukan Sam ke sekolah agama tidak mampu mengubahnya menjadi Muslim yang lebih baik. Tiada nilai yang diletakkan pada tudung yang dipakainya hari-hari ke kelas. Sam masih lagi Sam yang dulu. Hujung minggu, Sam sering keluar bersama kawan-kawan yang dianggap sekufu dengannya. Dia masih bertudung apabila keluar daripada kawasan sekolah, tetapi ditanggalkan tudung dan disalin pakaian sekolah dengan jeans dan baby T sejurus sampai di bandar. Disolek wajahnya tebal-tebal supaya tiada siapa yang perasan dengan penampilannya itu.
Sedar tak sedar, esok hari terakhir Sam di sekolah. Hari ini hari terakhir dia berada di sekolah ini, selepas selesai menjawab kertas peperiksaan terakhir Pendidikan Syariah Islamiah kelmarin. Para pelajar yang lain saling bersalaman dan berpelukan sebagai tanda perpisahan. Selepas bersalam-salaman dengan rakan-rakan sekelasnya, lantas Sam menaiki kereta yang dipandu oleh Encik Saifuddin, ayahnya dan pulang ke rumah.
“Hurray! Dah habis sekolah. Dah tak payah pakai tudung labuh. Dah tak payah nak bangun awal-awal pagi solat subuh jemaah bagai. Bestnya hidup!” Sam mempamerkan riak gembira ketika kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Tanpa menghiraukan panggilan mama menyuruhnya untuk solat Asar, Sam menekan butang “On” di televisyen dan menonton kartun “Spongebob”.
Makan, tidur, Facebook, Twitter, TV. Itulah rutin harian Sam sepanjang keberadaan dia di rumah. Mujur dia bukan seorang yang suka melepak, kalau tidak, tambah lagi dengan satu lagi aktiviti iaitu melepak. Solat hanya apabila disuruh, tudungnya pula entah ke mana. Puan Kamariah dan Encik Saifuddin hanya mampu menggeleng kepala. Itu adalah satu-satunya anak mereka. Mungkin salah mereka kerana terlalu dimanjakan sewaktu kecil. Apabila sudah besar, susah untuk dilenturkan dan dibentuk semula.
Keputusan SPM telah diumumkan. Tanpa diduga, sekali lagi Sam dikejutkan dengan keputusan Encik Saifuddin yang mahukannya menyambung pengajian di maktab perguruan. “Ayah, apa class jadi cikgu? Bosan la. Cukup la 11 tahun Sam belajar kat sekolah, takkan nak jadi cikgu pulak.,” bantah Sam. “Cikgu tu kan kerja yang baik. Mulia. Lagipun senang kerja dengan kerajaan. Tak payah nak fikir-fikir gaji, cukup bulan dapat la.,” balas ayah. Suara Sam semakin meninggi. “Cukup lah ayah dengan mama paksa Sam masuk sekolah agama. Takkan lepas sekolah pun nak kena ikut cakap ayah dengan mama lagi. Sam dah cukup besar la nak fikir sendiri.”
Akhirnya, Sam sekali lagi terpaksa mengikut kata kedua orang tuanya, atas sebab permohonannya masuk ke IPT dan matrikulasi ditolak. Encik Saifuddin dan Puan Kamariah sanggup berhabis duit untuk membeli barang keperluan Sam di asrama nanti. Puan Kamariah juga berbelanja besar membelikan anaknya beberapa pasang baju kurung baru untuk dipakai ke kuliah nanti. Kefasihan bertutur dalam Bahasa Inggeris membolehkan Sam melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB), Kelantan. Rezeki berpihak kepada Sam, di mana kos yang diambilnya adalah kos berkembar dengan universiti luar negara di United Kingdom.
Kod Pakaian bagi Pelajar/Pensyarah Wanita (waktu kuliah):
1. Baju kurung - bagi beragama Islam
2. Baju kebangsaan/kemeja dan skirt labuh - bagi yang bukan beragama Islam
3. Bertudung-bagi yang beragama Islam
4. Kasut formal bertutup penuh-tumit tidak melebihi 2 inci
“Alamak! Pakai tudung lagi? Tak bestnya. Dengan baju kurung bagai. Macam mana ni?” Sam mengeluh pada saat matanya terpandang kod pakaian yang tertulis di dalam buku peraturan IPGKKB. Macam-macam perasaan dirasainya sekarang. Resah, geram, tak puas hati, semua bercampur aduk. Sekali lagi syaitan bersorak gembira atas sebab berjaya menimbulkan perasaan amarah dalam diri anak Adam. Puas dia memikirkan jalan penyelesaian, dengan tekad untuk melepaskan diri daripada meneruskan pengajian di IPGKKB. “Lari dari rumah? Apply universiti lain and jangan cakap dekat mama dan ayah?” Pelbagai rancangan diaturkan, tetapi perasaan takut menguasai diri. “Macam mana kalau ayah tahu? Mampus aku dikerjakan. Gila. Gila.” Sam menghempas kasar badannya ke atas katil, dengan segala pakaian yang masih lagi tidak dimasukkan di dalam beg.
“Nanti belajar elok-elok. Ada apa-apa, telefon mama tau,” pesan mama sebelum bertolak pulang ke Perak, rumah kami. Ayah yang memandu tidak bercakap banyak, hanya melambaikan tangan tanda mahu memulakan perjalanan. Mama yang aku lihat daripada tadi menahan sebak, mungkin kerana ini adalah kali pertama kami berpisah. Dalam marah-marah Sam, sempat lagi dititipkan pesanan buat ayah, “Ayah, drive baik-baik. Kalau mengantuk, berhenti dulu. Nanti dah sampai Perak, call Sam.” Ayah mengangguk sebelum mengucapkan salam.
Genap dua bulan Sam berada di Kelantan. Nampak sedikit sebanyak perubahan dalam dirinya. Sam mula menjaga solatnya, walaupun kadang-kadang masih dikerjakan di akhir waktu. Tudung mula melekat di atas kepala dan juga di dalam hati. Mungkin kerana suasana sekeliling yang menyebabkan Sam mula untuk merubah. Mana taknya, malu rasanya kalau dia satu-satunya pelajar Islam yang “free hair”. Semasa mula-mula sampai di sini, sebagai “fresher”, Sam hanya mampu mengikut ajakan senior-senior ke majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di institut mereka. Tapi, kalau dah namanya terpaksa, takkan ada ilmu yang melekat di kepala dan di hati itu. Secara fizikal, memang Sam hadir ke majlis-majlis tersebut. Tetapi, kehadirannya sebagai cukup syarat memenuhi pelawaan kakak-kakak senior dan mungkin juga untuk menjaga hati mereka.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tiada nilai material yang ditinggalkan oleh Rasulullah kepada kita. Baginda tak mewariskan harta bertimbun, tetapi hanya dakwah dan peninggalan sejarah (iaitu Sunnah).”
Terngiang-ngiang suara Ustaz Mohamad, penceramah yang dijemput khas untuk membentangkan perbincangan tentang buku Hazaddeen, tulisan Asy-Syahid Sayid Al-Qutb dalam Seminar “I’m Muslim, I’m Okay” di Birmingham. Seminar yang diadakan selama dua hari dan dua malam ni Sparkbrook Mosque ini telah membuka mata dan minda Sam tentang dakwah Islamiah dan Syahadatul Haq (pengakuan yang benar). Topik dibincangkan dalam keadaan santai tetapi penuh dengan input-input yang sangat berguna dan penting kepada kami sebagai umat Islam. Naqibah kumpulanku, Nur Shafiqah, ataupun mesra dipanggil dengan nama Kak Iqa, membuat rumusan daripada buku Syahadatul Haq iaitu:
“Setiap perkara dalam dunia mempunyai hak tertentu, begitu juga dengan syahadah. Hak syahadah adalah untuk disampaikan. Jika kita tidak menunaikan hak syahadah ini, kita tergolong dalam golongan orang zalim, iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.”
Hari pertama di Birmingham sudah cukup membuatkan hatiku gelisah dan fikiranku tidak tenang. Impaknya, Sam masih berjaga walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi kerana masib memikirkan isi-isi perbincangan dalam seminar siang tadi.
Dia mula reflek diri. “Apakah jasa atau dakwah yang telah aku sampaikan sepanjang aku hidup 20 tahun ni? Hidup aku hanya dihabiskan dengan hiburan yang lagha dan melalaikan. Tanpa memikirkan asal-usul dan asbab kejadian aku di atas muka bumi ini, aku menjalankan kehidupan seharian dengan tiada perasaan serba salah. Di mana nilai-nilai yang menunjukkan bukti aku sebagai seorang Islam, kecuali yang tertera pada kad pengenalan? Aku bertudung, tapi masih terbuka jari-jemari kakiku. Aku membaca Al Quran dan solat lima waktu sehari semalam, tapi adakah aku menghayati sepenuhnya ibadat yang aku lakukan? Apakah ini sudah cukup untuk aku diakui sebagai umat Nabi Muhammad? Bagaimana dengan ajaran-ajaran Baginda yang lain?”
Hari kedua di Birmingham...
“Siapa hendak ke kedai buku?” tanya Kak Naimah, ketua fasilitator seminar. Tiada siapa yang mengangkat tangan. Memandangkan tiada respon, lantas Sam bertanya, “Kak, kalau saya seorang yang angkat tangan, still boleh pergi ke?” “InsyaAllah, boleh je. Akak pun nak pergi sama. Kita pergi sama-sama ye,” Kak Naimah menjawab. Sebelah petangnya, Sam dan Kak Naimah menuju ke kedai buku Darussalam yang hanya 10 minit jaraknya dari Sparkbrook Mosque. Dia terpandang buku bertajuk “Miracles of the Messenger (peace be upon him)”. Tanpa memikirkan harganya, Sam terus mencapai buku tersebut dengan beberapa helai tudung labuh dan menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Azamnya ialah dia ingin lebih mengenali Junjungan Besar Rasullah supaya boleh jatuh cinta dengan Baginda. Bak kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta”.
Dulu, dengan bangganya Sam mengaku Angelina Jolie sebagai pelakon kegemaran dan idolaku. Dia sukakan bakat lakonannya yang serba boleh dalam membawa watak-watak yang diberikan, dia sukakan setiap fesyen dan penampilan yang sentiasa tampak cantik dan bergaya, dan dia juga sukakan sikapnya yang penyayang apabila dia dan pasangannya, Brad Pitt mengambil beberapa orang anak angkat daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Sam juga mengambil tahu setiap perkembangan peribadi dan lakonannya tanpa ada yang tertinggal satu pun.
“Sekarang? Tak layak rasanya hendak aku akui Rasulullah sebagai idolaku, kerana tiada satu pun sunnah Baginda yang aku jadikan pegangan. Bagaimana hendak aku akui jika sejarah Baginda tidak pernah aku ambil peduli, suruhan dan amarannya tidak aku kisahkan. Maulidur Rasul? Tidak aku sedari sehinggalah ada pemberitahuan tentang adanya perarakan sempena Maulidur Rasul pada keesokkan harinya. Lebih daripada itu, aku tak pernah menyibukkan diri untuk mengkaji ataupun mencari maklumat tentang Junjungan Besar ini. Apa mungkin rakyat tidak mengenali pemimpin negeri sendiri. Tetapi, itulah hakikatnya tentang diriku. Aku tidak kenal akan siapa itu Nabi Muhammad. Aku tidak kenal pemimpin dan pemberi syafaatku sendiri. Malunya Ya Allah! Aku beragama Islam, agama yang dibawa oleh Nabi-Mu Muhammad, tapi aku sendiri tidak kenal siapakah gerangannya yang bernama Muhammad itu,” monolog Sam sendirian.
Sejurus pulang ke tempat penginapan, terus Sam membuka buku tersebut dan mula membaca. Seperti membaca novel fiksyen bersiri Harry Potter tulisan J.K Rowling dan novel-novel tulisan Dan Brown, begitu juga reaksinya ketika membaca kisah-kisah yang berkisarkan tentang mukjizat-mukjizat Nabi Muhammad yang diceritakan di dalam buku tersebut. “Rupa-rupanya, sirah Nabi lagi menarik. Banding dengan novel yang aku baca sebelum ni, dah la cerita mengarut, tapi aku boleh pulak baca tak ingat dunia. Sirah Nabi dah sah-sah fakta yang tak boleh disangkal. Memang terbaiklah!” Sam membandingkan buku yang dibelinya tadi dengan novel-novel Bahasa Inggeris yang pernah dibacanya sebelum ini.
Hari ini hari terakhir di Birmingham. Dalam slot terakhir, satu persoalan yang ditujukan oleh Ustaz Muhammad kepada peserta-peserta seminar.
“Kenapa Rasulullah turun berperang, sedangkan Baginda adalah pemimpin”
Terkesan sungguh Sam mendengarkan perbincangan tentang solusi kepada persoalan tersebut. Dia dapat melihat peserta-peserta lain, terutamanya lelaki, bangun dan menyampaikan hujah-hujah bagi menjawab persoalan yang ditujukan. Ketika itu, dia merasakan dirinya begitu kerdil kerana tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan betul, malah, tidak terlintas jawapan-jawapan yang diberikan oleh peserta lain di pemikiranku. Berbeza. Terlalu berbeza. Dia hanya mampu memberikan idea secara logik, tetapi yang lain lebih hebat. Mereka memberikan hujah yang berbentuk fakta, beserta dengan dalil dan bukti yang sahih.
“Baginda Nabi Muhammad memang seorang pemimpin, tetapi Baginda bukan calang-calang pemimpin. Baginda ialah seorang pemimpin yang sangat mulia akhlaknya. Bahkan dalam surah Al-Ahzab, ayat 21 ada menyatakan, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah”. Rasulullah bukan seorang pemimpin yang hanya memberikan arahan, tetapi Baginda juga turut turun padang, bersama-sama umat Islam yang lain. Oleh sebab itu, sahabat-sahabat sangat menghormati dan memandang tinggi Rasulullah.”.
Ini adalah salah satu pandangan yang dikira sangat bernas diberikan oleh seorang peserta lelaki. Dengan suara yang lantang, dia dapat membentangkan hujah-hujahnya dengan yakin, dan dapat dilihat peserta-peserta lain menganggukkan kepala, tanda bersetuju dengan hujahnya itu. Sam tertunduk malu. Dan pada saat itu, dia dapat rasakan yang dirinya jauh ketinggalan di belakang. “Orang lain sudah menjadi hebat, sedangkan aku? Di manakah tahap aku, jika dibandingkan dengan mereka yang lebih mengenali Rasulullah dan mengamalkan sunnah Baginda?” sekali lagi Sam terfikir.
“Aku perlu berubah! Aku mesti berubah! Aku perlu buktikan bahawa aku ini salah seorang umat Nabi Muhammad yang sebenar. Aku perlu hidupkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian. Aku mahu Islam tertegak dan berdiri teguh seperti zaman Rasulullah dan Khulafa’ dahulu.” Kata-kata yang penuh keazaman ini Sam tulis di dalam diarinya. Malah, ungkapan ini juga yang ditanam dalam diri Sam sebagai langkah pertama untuk berubah. Berubah daripada segi lahiriah dan spiritual.
Banyak kata-kata yang penuh bermakna diungkapkan oleh Ustaz Mohammad dalam dua hari seminar tersebut diadakan. Kata-kata yang mampu meresap jauh ke dalam hati dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa yang mendengarnya, termasuklah Sam. “Islam takkan tersebar jika tiada siapa yang menyampaikan. Atas sebab ini jugalah Rasulullah berperang. Rasulullah tidak hanya duduk diam dan menunggu untuk Islam tersebar dengan sendirinya. Rasulullah bersama-sama para sahabat berganding bahu menyampaikan risalah dakwah untuk menarik ramai umat manusia mengikut ajaran Islam yang mana Allah telah janjikan nikmat pahala dan syurga bagi mereka.”
Secara perlahan-lahan, Sam mula belajar tentang sunnah-sunnah Rasulullah. Melalui internet, dia mencari bahan bacaan yang boleh menjadi sumber informasi. Ketika sedang ralit melayari internet, matanya terpaku pada satu artikel yang ditulis dan diterbitkan di laman social Facebook. Tajuknya ialah “Rasullah rindu akan umat akhir zaman”. Artikel itu menceritakan bahawa Rasulullah memberitahu bahawa umat akhir zaman mempunyai iman yang ‘ajaib’. Rasulullah menjelaskan kepada sahabat-sahabat, “Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku.”
Satu perenggan yang berjaya membuatkan Sam menitiskan air mata. “Rasulullah rindu hendak bertemu dengan umat yang hidup selepas kewafatan Baginda, bermaknanya itu termasuk diriku. Rasulullah nak jumpa dengan aku?” Sam tertanya sendiri. “Rasulullah rindu pada umatnya, tetapi bagaimana dengan diri aku? Adakah aku rindu pada Rasulullah? Rasanya, belum pernah aku menitiskan air mata semata-mata kerana ingin melepaskan rindu terhadap Baginda. Air mataku dibazirkan untuk perkara-perkara duniawi. Bagaimana hendak rindu jika tidak pernah mencintainya?”
Rasulullah juga mengaku umat akhir zaman sebagai saudara Baginda. "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
“Cintakah aku pada Allah? Cintakah aku pada Rasulullah? Cintaku kepada Baginda belum lagi mencapai taraf sebagaimana Baginda sayang kepada umatnya, sehinggakan Baginda menganggap aku dan saudara-saudara seIslamku yang lain sebagai saudaranya”, Sam mengajukan pertanyaan kepada dirinya sendiri.
Semangat Sam semakin berkobar-kobar. Artikel berkenaan menjadi sumber inspirasi untuk terus berjihad mengenali Allah dan kekasih-Nya, Rasulullah, dengan cara beriman dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Dia mahu menjadi orang yang bahagia kerana beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dia juga mahu dua kalimah syahadah yang sering dilafazkan dalam bacaan tahiyat bukan semata-mata bermain di bibir, tetapi juga dizahir dan dilaksanakan melalui amal ibadat yang sempurna.
Sam juga ada merujuk kepada senior-senior dan rakan-rakan yang lebih arif untuk mendapatkan kepastian. Mujur mereka berbesar hati untuk memberikan aku tunjuk ajar. Transformasi yang dia lakukan disambut dengan tangisan syukur dan kalimah ‘Alhamdulillah’ daripada kedua orang tuaku di Malaysia. Namanya turut bertukar panggilan. Daripada “Sam”, satu nama yang konon-kononnya lebih moden dan glamour, terus ditukarkan kepada “Ana”, singkatan daripada nama keduanya, Hasanah. Syamilatul Hasanah terasa seperti baru dilahirkan. Dengan penampilan yang baru, kini Ana berasa lebih yakin untuk menyahut seruan sunnah Rasulullah iaitu untuk menyampaikan hak syahadah kepada masyarakat. Mungkin cita-cita ini terlalu tinggi, tetapi tidak salah untuk berangan-angan, kerana daripada angan-angan akan wujud usaha untuk mencapainya. Sentiasa dia mengingatkan dirinya bahawa dia diutuskan di atas muka bumi bukan sahaja sebagai hamba, tetapi juga sebagai khalifah. Maka, ada tugas yang telah diaturkan untuknya, iaitu “Amar Makruf Nahi Mungkar”. “Semoga Allah mempernudahkan segala urusan dan pekerjaanku untuk mempertahan dan menyebarluaskan agama Islam di atas muka bumi ini, InsyaAllah”, Ana berdoa.