Dari kejauhan, terbayang-bayang raut wajah ayah. Kenapa ayah? Bukankah selalu orang yang paling diingati ialah ibu? Ya, benar. Wajah mama selalu dalam ingatan. Selalu disisipkan doa buat kedua-dua mereka. Rindunya pada mama, tidak dapat digambarkan. Tetapi, aku lagi rindu kepada ayah. Sebab? Aku rindu mama, aku akan telefon dan bercakap dengan mama selama mungkin. Hal duit dihabiskan beli topup perkara kedua. Yang penting, dapat melepaskan rindu. Tetapi, ayah? Ayah bukanlah seorang yang banyak cakap. Tak macam mama, tak macam kami adik beradik. Ayah bercakap bila perlu. Ayah banyak bercakap bila dia tengok berita di TV, dia akan jadi pengulas berita yang kedua daripada yang utama. Tapi, bila dalam telefon, ayah sangat sedikit percakapannya. Kadang-kadang cukup dia tanya khabar anak yang jauh ni dan dia akan bagi orang lain pulak bercakap. Itu ayah saya.
Selalunya, apabila pendaftaran hari pertama sekolah ataupun matrik, ibu bapa akan hantar anak mereka. Tapi tidak saya. Ayah yang menguruskan saya masuk ke KMKN, ayah juga yang mengambil dan menghantar saya pada hujung minggu pulang ke asrama. Ayah juga yang sanggup mengambil cuti mengikut saya ke Kelantan untuk mengambil barang-barang di asrama sebelum datang ke UK. Boleh dikatakan kebanyakan masa saya dihabiskan dengan ayah.
Tetapi, walaupun dia tak banyak cakap, tapi sesekali dia bercakap, ada nasihat yang dititipkan. Selalu dia pesan “Pi mana-mana pun, jangan tinggal sembahyang.” Itu pesan yang dia wajib cakap kepada anak-anak sewaktu nak pulang ke universiti ataupun asrama. Sampai sekarang, kalau telefon ayah, walaupun cakap tak sampai 5 minit, pesan tetap tak lupa.
Pernah ayah cakap, “Dalam rezeki kita, ada jugak bahagian orang lain. Sebab tu Allah suruh kita rajin bersedekah”. Masa ni, saya pertikaikan, kenapa ayah selalu buat jamuan dekat staf-staf pejabat di sekolah. Dia selalu bawak balik buah-buahan nak dijamu kepada staf-staf. Dan, kadang-kadang ayah akan bagi hadiah yang diberikan oleh pelajar-pelajar masa Hari Guru kepada kami adik beradik.
Dalam senyap-senyap ayah, ayah ada hati yang cukup sensitif. Sebelum ni, kita selalu nak jaga hati ibu, tanpa kita sedar kita juga ada ayah yang perlu dijaga hatinya. Hati ayah sensitif bila masa dia sedar bahawa seorang anak dia berada jauh di mata. Abang-abang dan kakak selalu update cerita-cerita dari rumah. Semua kisah berkisarkan tentang ayah yang merindui anaknya. Ayah menangis buat kali pertama saya telefon dari UK. Pada mulanya, suara ayah biasa saja, tetapi selepas itu, suara ayah serak. Saya mula menangis, tapi berbohong pada ayah mengatakan saya selsema akibat cuaca yang sejuk. Hati ayah juga sensitif apabila anaknya meminta sesuatu, dia akan cuba memenuhi. Alhamdulillah, setakat ini, tiada apa yang saya minta saya tak dapat. Malah, saya juga menjadi orang tengah untuk adik beradik meminta sesuatu dari ayah. Mungkin kami rapat berbanding yang lain. Malah, aku juga jadi tukang pujuk ayah jika ada sesuatu yang ayah susah nak ‘approve’. Alhamdulillah, hati ayah cair apabila anak ini yang memujuk.
Dari bab fizikal pulak, ayah seorang yang sangat simple. Pakaiannya bukan yang sentiasa berjenama, selagi mana selesa dan bersih, dia akan pakai. Cukup dengan t shirt ataupun kemeja, seluar slack hitam dan sandal, dia sudah siap hendak ke Sungai Petani. Malah, pakaian itu juga dipakai pada hari raya, kenduri-kendara dan juga ke pasar. Dari jauh, jika tidak kenal, orang tidak akan tahu bahawa itu adalah seorang pengetua sekolah. Itu ayah. Anak-anak selalu ‘komplen’, “ Ayah pakai tak smart la, tak nampak macam pengetua langsung”. Apa kata ayah? “Tak smart tak apa, janji kita pandai, ada duit. Jangan pakai smart, tapi habuk pun xdak”. Itu kata ayah, kata-kata yang santai, tapi penuh dengan makna.
Tujuan saya bercerita bukan semata-mata pasal ayah, tetapi saya mahu mengajak sahabat-sahabat untuk merenung kembali kenangan-kenangan bersama ayah, orang yang terpenting dalam hidup selepas ibu. Kadang-kadang kita lupa oleh sebab banyak masa kita dihabiskan dengan bercakap dengan ibu. Malah, kadang-kadang kita hanya mahu berjumpa dengan ibu, bukan dengan ayah. Ingatlah, ayah juga wajib ditaati dan disayangi seperti mana kita sayang ibu.
SAYA SAYANG AYAH SAYA!
Gambar dengan ayah di ladang unta